Kongsikan Entri Kami

Tuesday 11 October 2011

Gosip : Sepah Terpaksa Bersatu Semula Untuk "Sepah The Movie"


Anda mungkin berminat juga dengan : Jep dan Shuib tubuh Sepahtu

Masih lagi hangat berita perpecahan kumpulan komedi nombor satu negara, Sepah yang kini dikenali sebagai Sepahtu, dianggotai dua anggota lamanya Jep dan Shuib.

Malah usah terkejut, jika Mamat yang telah disingkirkan dari kumpulan berkenaan bakal bersatu semula sebagai jenama kumpulan Sepah dalam sebuah filem komedi aksi terbitan PTV Film Productions tidak lama lagi.

Bukan sekadar khabar angin, sebaliknya filem yang diberi judul Sepah The Movie itu langsung tidak mengambil peduli tentang perpecahan kumpulan berkenaan sebaliknya tetap mahu menyatukan ketiga-tiga mereka dalam satu filem.

Penerbit filem berkenaan, Hasni Maulod percaya ketiga-tiga sahabat itu mampu bersikap profesional bagi menjayakan filem itu, walaupun mereka kini tidak lagi sehaluan.

"Sebenarnya sejak sebelum kumpulan ini berpecah lagi kami telah mendapat persetujuan daripada setiap ahli anggota Sepah untuk berlakon dalam filem ini.

"Walaupun sekarang mereka tidak lagi bersama, kami masih tidak hilang kepercayaan dengan kemampuan mereka apatah lagi untuk melihat mereka bersama dalam sebuah filem," katanya pada sidang media pelancaran Sepah The Movie di sini, semalam.

Hasni menambah, pihaknya percaya setiap anggota sepah mampu memberikan yang terbaik untuk filem berkenaan walaupun sedar tekanan yang akan dihadapi lebih-lebih lagi apabila tersebarnya berita perpisahan kumpulan itu baru-baru ini.

"Kami mengikuti perkembangan kumpulan Sepah sejak mereka menyertai Maharaja Lawak dan drama Sepah sehinggalah kami menemui penulis skrip drama itu untuk berbincang menghasilkan filem ini.

"Saya tetap percaya dan tidak ada rasa sangsi dengan jalinan 'chemistry' yang ada pada mereka dan perpecahan yang berlaku antara mereka adalah berita baru buat kami. Tiada langsung niat untuk mengeksploitasi mereka dengan berita perpecahan mereka itu," katanya berterus terang.

Selain bekas anggota kumpulan Sepah, filem berkenaan turut dilakonkan Jehan Miskin, Yus dari kumpulan Jambu, Asrul Raja Lawak, pelakon baru Anzalna Nasir dan Ramona Qadira iaitu finalis Dewi Remaja 2010/2011.

Sementara itu, Mamat yang turut hadir bersama-sama dua lagi anggota Sepahtu ketika majlis pelancaran itu berkata, dia langsung tidak berhadapan dengan sebarang masalah untuk berlakon bersama-sama bekas anggota kumpulan lamanya itu.

Baginya pengalaman sepanjang bersama Sepah dengan membawa impian dan tujuan yang sama sehingga berjaya ke tahap membanggakan perlu diteruskan untuk filem berkenaan, meskipun mereka tidak lagi bersama kala ini.

"Tiada istilah tikam menikam dalam perkara ini. Saya, Jep dan Shuib pernah memohon kepada Tuhan benda yang sama iaitu memastikan Sepah berjaya dan bila perpecahan ini terjadi, kami semua dapat menanganinya dengan baik dan profesional.

"Bagi saya apa yang lebih penting sekarang ialah dengan letak ketepi hal-hal peribadi dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada filem ini," jelas Mamat dengan ikhlas.

Sementara itu Mamat ketika dihubungi portal murai.com.my, berkata keputusan Jep dan Shuib untuk bergerak dengan nama Sepahtu, sedikit sebanyak telah memberi pandangan buruk daripada masyarakat apatah lagi dilabelkan sebagai seorang yang bermasalah.

Malah, kenyataan yang keluar dari rakan-rakannya itu menunjukkan bahawa dirinya mempunyai masalah disiplin sehingga tidak dapat memberikan komitmen yang sewajarnya terhadap kumpulan Sepah.

"Saya bukan nak menafikan bahawa saya mempunyai masalah disiplin yang teruk. Cuma saya bukanlah seteruk yang disangka. Bagi saya kami bertiga mempunyai masalah masing-masing, cuma bagaimana mereka sendiri mahu mengendalikannya.

"Saya rasa ini bukanlah cara yang matang, apatah lagi untuk menyalahkan sesiapa. Saya berani cakap, kalau saya ada masalah disiplin kenapa sehingga kini saya masih berada di bawah naungan Astro?

"Bagaimanapun, apa yang boleh saya katakan bahawa hubungan kawan antara kami tidak pernah putus dan saya berharap sangat mereka yang juga dikenali Sepahtu boleh pergi jauh dengan apa juga perancangan," katanya.

Beralih kepada album, Sepahtu akan tampil dengan album sulung mereka yang diterbitkan di bawah MW Entertainment dan Sheikh Qalam Records serta diedarkan dan dipromosikan oleh Universal Music Malaysia.

Biarpun kecewa kumpulan Sepah yang dianggotai oleh 3 orang sejak hampir 4 tahun lalu telah dibubarkan, namun Mamat redha dengan apa yang terjadi dan menganggap ianya dugaan yang diberikan Tuhan terhadapnya.

"Siapa tak kecewa kerana kami pernah susah senang bersama selama hampir empat tahun. Tapi nak buat macam mana, saya perlu teruskan kerjaya saya sebagai pelakon dan pelawak," luahnya yang kini sedang menjalani pengambaran drama bersiri Super Lawak.

1 comments:

Anonymous said... Best Blogger Tips

macam2.....

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...