Kongsikan Entri Kami

Monday 8 August 2011

Info : Pembaziran Dalam Perkahwinan Disukai Syaitan

hanya sekadar perhiasan
 Perkahwinan merupakan satu ibadat dalam agama Islam di mana matlamat sebenar perkahwinan adalah untuk membina sebuah institusi keluarga yang bahagia. Perkara asas perkahwinan yang dituntut dalam Islam ialah akad nikah dan mas kahwin.

Namun, jika dilihat pada zaman sekarang, kebanyakan majlis perkahwinan diadakan dengan menggunakan kos perbelanjaan yang besar, sekaligus mendatangkan pembaziran. Ikuti pandangan penceramah bebas dan pengacara 'Semanis Kurma', Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood mengenai isu ini.

"Perkahwinan dibina untuk mendapatkan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Jadi, seharusnya proses untuk membina kehidupan bahagia bermula daripada pemilihan jodoh dan bagaimana perkahwinan itu dilaksanakan. Seterusnya, pasangan suami isteri ini diijabkabulkan sehingga mendapat zuriat yang soleh dan solehah.

"Maka untuk mendapat perkahwinan yang diberkati, sewajarnya ia hendaklah dilakukan secara sederhana, tidak membebankan kedua-dua belah pihak, tidak ada unsur pembaziran, tidak ada perasaan riak iaitu ingin menunjuk-nunjuk dengan apa yang mereka miliki kepada orang ramai," jelas Ustazah Bahyah ketika ditemui di Sri Pentas, Bandar Utama baru-baru ini.

Apabila ditanya kepada ustazah mengenai trend golongan artis sekarang yang berlumba-lumba mengadakan majlis besar-besaran, beliau menjelaskan, "Bercakap tentang 'public figure', sudah pasti dari segi undangan perkahwinan, tak sama dengan orang biasa. Mereka perlu menjemput pelbagai lapisan masyarakat.

"Namun untuk mendapat perkahwinan yang diberkati juga, kaedah yang disarankan dalam Islam ialah undangan perkahwinan itu hendaklah menjemput dari kategori orang kaya dan juga tidak diabaikan orang miskin. Orang biasa, jemputan dia mungkin 100, tapi untuk 'public figure' jemputan dia mungkin 2,000 atau 3,000.

"Tapi kita mestilah dalam skop yang diperkatakan tadi iaitu tidak menunjuk-nunjuk dan riak di mana berkat itu penting. Sebab itu Nabi menyarankan supaya setiap perkara itu dilakukan dengan sederhana," jelas ustazah lagi.

"Saya rasa kaedah yang terbaik ialah dengan menggunakan kaedah pertengahan di mana biarlah segalanya dibuat secara sederhana asalkan kita dapat menjemput sanak saudara, kaum keluarga, wartawan dan sahabat-andai termasuklah peminat.

"Bagi saya, sederhana ini sedap mata memandang bagi semua pihak. Bila peminat tengok kita buat secara sederhana, mereka akan suka berbanding jika kita buat secara berlebih-lebihan, mereka tak suka.

"Nabi ada menyebut dalam hadis, wanita yang paling berkat ialah wanita yang rendah mahar, mas kahwinnya. Maknanya yang lain-lain itu kenalah bersederhana. Sekarang ini kita tengok, dengan mas kahwinnya, dengan hantarannya di situ dah ada sikap berlumba-lumba.

"Sebenarnya kita tidak perlu meletakkan bayaran tertentu untuk harga diri kita. Perkahwinan itu ialah ibadat dan ibadat perlu dilakukan dengan sebaik mungkin dan pembaziran ini memanglah disukai oleh syaitan."

Apabila diminta mengulas mengenai isu artis yang menerima penajaan untuk majlis perkahwinannya, ustazah memberitahu, "Itu bergantung kepada sikap seseorang apabila dia nak buat majlis perkahwinan sama ada untuk menerima penajaan atau tidak.

"Kalau individu tersebut bimbang dengan penajaan itu, sehingga dia sendiri boleh rasa riak, menunjuk-nunjuk, maka saya rasa tak semua tajaan itu boleh diterima. Kita juga boleh bincang dengan pihak penaja apa yang kita nak. Contohnya, pihak penaja cakap, nak bagi pakaian bernilai RM300,000, kita rasa macam di situ ada pembaziran, sedihkan bila membazir, sedangkan ramai lagi orang miskin yang memerlukan.

"Jadi, kita boleh adakan MOU (perjanjian) dengan penaja itu, boleh tak sediakan baju dekat kita, RM5,000 atau RM8,000 saja. Jadi, tak salah nak mengambil penajaan," ujar ustazah sambil dipersetujui oleh suaminya, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid.

"Kita sebagai 'public figure', kita jangan merasakan kita dipergunakan oleh orang lain sampai kita menggadai prinsip yang ada pada kita. Kita ada prinsip, kita ada jati diri dalam hidup. Kalau orang nak menaja kita, kita tengok apa tujuan mereka, adakah dia nak mengeksploitasi kita ataupun dia ada agenda yang tertentu yang boleh merosakkan matlamat perkahwinan kita," tegas ustaz berhubung isu ini.

Sebelum mengakhiri temubual, ustazah sempat memberi nasihat, "Kalau kita merasakan terlalu banyak sangat bajet yang digunakan, kenapa tidak sebahagian daripada bajet tersebut digunakan untuk tujuan selepas perkahwinan. Selepas kahwin, kena ada rumah sendiri dan kenderaan sendiri. Wang tersebut juga mungkin boleh digunakan untuk pergi berbulan madu, menunaikan haji dan juga umrah agar perkahwinan itu lebih mendapat keberkatan Allah.

"Bajet itu kita sendiri kena rancang supaya dapat keberkatan kerana berkat itu penting. Tapi, kalau daripada pemilihan jodoh tak okay, perkahwinan kita pun dah ada banyak perkara yang Allah tak suka, macam mana kita nak bina rumahtangga yang bahagia? Jadi, maknanya nak bina rumahtangga yang bahagia harus melihat semua aspek kerana daripada situlah titik tolak untuk kita bina rumahtangga yang bahagia."

GUA 

2 comments:

Anonymous said... Best Blogger Tips

biarlh bersederhana.....

Anonymous said... Best Blogger Tips

cam rozita che wan la........dh nk menepous pon xsedor diri lgi....kawin nk grand2 aje...tuihh...

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...